Adakah subjek seperti Sains dan Matematik susah untuk dipelajari? Atau mungkinkah pelajar salah faham atau berprasangka menyebabkan kebelakangan ini jumlah yang mengikuti aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dilihat semakin menurun.
Kemerosotan pelajar memilih aliran Sains sudah menjadi isu yang agak lama dibincangkan di negara ini kerana keadaan itu tentu saja dilihat tidak seiring dengan ledakan perkembangan teknologi yang semakin canggih. Malah ia juga cabaran dalam matlamat Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025.
Justeru, bagi memastikan hasrat itu tercapai dan seiring ledakan Revolusi Industri 4.0, negara kita memerlukan lebih ramai generasi muda untuk belajar dan mahir dalam bidang STEM.
Kurang meminati subjek Sains dikaitkan dengan kemerosotan pelajar memilih aliran itu. Perihal kurang minat ini sebenarnya banyak dipengaruhi stigma dan persepsi peribadi pelajar yang negatif terhadap subjek itu. Misalnya mereka merasakan ia sukar dipelajari, atau kurang mendapat pendedahan mengenainya.
Namun sebenarnya, keadaan ini perlu diperbetulkan dan murid perlu difahamkan mengenai kepentingan sains dan teknologi dalam perkembangan tamadun manusia.
Perkembangan teknologi menghasilkan pelbagai inovasi yang akan memberikan kesan kepada kehidupan manusia dari pelbagai sudut.
Justeru, di pihak kita sebagai ibu bapa dan guru pula, apakah yang boleh dilakukan bagi menarik minat pelajar terhadap STEM?
1. Tanggungjawab Ibu Bapa
Sebenarnya dalam memupuk minat anak terhadap STEM ia boleh dilakukan dengan mudah malah boleh dipupuk sejak kecil. Misalnya biasakan diri membawa mereka untuk bersantai dengan mengunjungi pameran sains dan teknologi. Selain itu dekatkan mereka dengan bengkel berasaskan STEM, misalnya pengaturcaraan asas robotik.
Menanam minat mereka terhadap sains tidak semestinya menekankan hal-hal yang terlalu berat dan tidak sepadan dengan usia. Malah sebenarnya dalam mendekatkan murid dengan sains, ia boleh dibuat secara asas dan santai. Misalnya bercerita mengenai sistem cakerawala atau bagaimana akhirnya manusia berjaya menjejak kaki ke bulan.
Peranan ibu bapa sangat besar dalam kehidupan anak terutama pada peringkat awal kehidupan mereka. Justeru, gunakan peluang itu sebaiknya untuk menanam rasa minat dan cinta terhadap sains.
2. Peranan Sekolah
Sekolah boleh menjalankan program yang merangsang minda dan keupayaan kreativiti murid. Misalnya, sekolah boleh mengadakan pertandingan inovasi atau pengaturcaraan robotik. Ia bukan hanya untuk memupuk minat tetapi juga mendorong kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid.
Beri galakan kepada murid untuk menyertai pertandingan sebegitu juga mampu merangsang motivasi mereka dan rasa yakin diri. Bagi menanam minat pelajar juga, sekolah perlulah mewujudkan pelbagai inisiatif seperti mengadakan program, seminar dan kolokium dengan tujuan untuk meningkatkan kebolehan, pengetahuan dan kemahiran guru bagi memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran berkaitan mata pelajaran STEM. Malah, kongsikan maklumat terkini berkaitan kerjaya STEM supaya golongan pendidik dapat menyebarluaskan ia kepada pelajar.
3. Tugas Guru
Guru sebagai agen terpenting dalam matlamat ini seharusnya mempunyai kesediaan dalam melaksanakan kaedah penyampaian pendidikan STEM di sekolah yang lebih efektif. Tumpuan guru kini bukan hanya kepada penyampaian ilmu pengetahuan kepada pelajar malah lebih dari itu iaitu untuk membangunkan KBAT supaya mereka dapat berfikir di luar kotak pemikiran.
Sebagai contoh, guru perlu berubah daripada pendekatan pengajaran secara konvensional kepada kaedah pengajaran terkini atau dikenali sebagai pengajaran abad ke- 21 (PAK-21) yang menekankan pembelajaran berpusatkan murid dan berunsurkan KBAT. Menerusi PAK-21, kaedah pengajaran guru juga tidak boleh terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata, malah penekanan yang lebih kepada pengalaman amali perlu dititik beratkan dalam usaha menarik minat pelajar.
Strategi dan pendekatan pengajaran juga perlu menggalakkan pembabitan aktif pelajar dalam proses pengajaran supaya lebih kreatif dan relevan seiring dengan revolusi pendidikan yang sentiasa berkembang pesat.
Malah sebenarnya selain ibu bapa, guru juga adalah insan penting dalam mengubah stigma dan persepsi negatif pelajar terhadap subjek sains. Pelajar seharusnya diberi peluang untuk meneroka sendiri sesuatu konsep sains melalui aktiviti dan bukannya disuap dengan fakta-fakta sains.
Sebagai rujukan artikel asal boleh dilihat di laman Berita Harian.