fbpx

‘Formula Petak Ajaib’ Cikgu Rohaidee diiktiraf

BACHOK: ‘Formula Petak Ajaib’ yang diperkenal Rohaidee Mustafa untuk subjek Sains berjaya mengangkat Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin itu sebagai pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDONALD’S 2022.

Sebahagian daripada 25 guru yang menerima anugerah anjuran McDonald’s dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Majlis Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 di Bachok, hari ini. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Rohaidee yang berusia 55 tahun antara 25 guru yang menerima anugerah tahunan anjuran McDonald’s dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) yang disampaikan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. Rohaidee berkata, formula berkenaan diperkenal sejak 2002 ketika beliau mengajar di SK Bukit Beruang di Melaka.

“Saya dipertanggungjawab mengajar subjek Sains untuk kelas akhir. Pemantauan mendapati kebanyakan murid saya lemah subjek Sains, terutama Bahagian B. “Saya mencari cara paling murah untuk membolehkan murid boleh menjawab subjek berkenaan, selain memupuk minat kepada mata pelajaran itu.

“Formula berkenaan yang dinamakan ‘Formula Petak Ajaib’ dan kaedah ini juga dibentangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka,” katanya hari ini. Yang turut hadir, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonalds Malaysia, Melati Abdul Hai.

Radzi bersama-sama guru yang menerima anugerah anjuran McDonald’s dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Yang turut hadir, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonalds Malaysia, Melati Abdul Hai. Rohaidee berkata, susulan formula berkenaan, ramai anak muridnya boleh menjawab soalan Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2007 dan ketika itu seramai 45 anak muridnya memperoleh A, bagi subjek berkenaan. “Saya berhasrat memperkenal formula ini kepada guru lain supaya lebih ramai murid meminati subjek Sains,” katanya.

Terdahulu, Radzi berkata, setiap guru melakukan tugas dengan ikhlas dan tidak pernah mengharapkan pengiktirafan. “Berdasarkan pembacaan hasil usaha yang dilakukan 25 guru itu, mereka menggunakan pendekatan untuk memastikan sekolah ruang yang menyeronokkan.

“Itu antara elemen utama Sekolahku Sejahtera. Pendekatan itu diperlukan kerana kita mahu melihat anak-anak bangun pagi dan pergi ke sekolah, tanpa dipaksa kerana mereka menganggap sekolah tempat menyeronokkan. “Kita bersaing atas tapak sains dan teknologi yang menjadi tunjang yang memerlukan anak-anak murid minat. Cabaran besar kita untuk melahirkan murid yang mempunyai minat mendalam dalam bidang sains dan teknologi,” katanya.

Sebagai rujukan artikel asal boleh dilihat di laman Berita Harian.

Related Posts

Hi, how can I help you?