Bermula 17 Julai sehingga 24 Ogos 2022, orang ramai berpeluang untuk menyaksikan salah satu fenomena angkasa iaitu Hujan Meteor Perseids! Kemuncak Hujan Meteor Perseids ini dijangka berlaku pada pagi 13 Ogos 2022 dengan purata 60 meteor per jam. Fenomena ini boleh dilihat dalam keadaan langit yang gelap dan cuaca yang baik. Namun dijangka kenampakan hujan meteor ini adalah kurang bagus kerana terdapat gangguan bulan hampir purnama semasa kemuncak ianya berlaku.
Hujan Meteor Perseids?
Hujan Meteor Perseids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Perseus. Walau bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah. Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari dan merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle.
Komet Swift-Tuttle
Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26-kilometer dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya. Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri Matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut. Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera Bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.
Tips yang boleh anda gunakan untuk mencerap Hujan Meteor Perseids ☄
📌 Pastikan pencerapan dilakukan di kawasan yang lapang dan tiada halangan seperti bangunan tinggi, pokok atau rumah.
📌 Cuba dapatkan pemandangan langit yang luas.
📌 Jauhi persekitaran yang bercahaya. Semakin gelap, semakin baik.
📌 Sesuaikan mata dengan tahap kegelapan selama 20 minit.
📌 Untuk melihat meteor-metoer ini, anda tidak perlu memfokuskan ke arah buruj Perseus sahaja. Hal ini kerana ianya boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa.
✍ 𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗸𝗮𝗸𝗶:
* 𝗞𝗼𝗺𝗲𝘁 merupakan pepejal gabungan antara batuan debu dan ais yang tersebar apabila mengorbit mendekati matahari.
* 𝗞𝗼𝗺𝗲𝘁 𝗦𝘄𝗶𝗳𝘁-𝗧𝘂𝘁𝘁𝗹𝗲 pertama kali dijumpai pada tahun 1862 oleh Lewis Swift dan Horace Tuttle.
* 𝗣𝗲𝗿𝘀𝗲𝘂𝘀 ialah buruj langit utara. Ia terletak di antara buruj Auriga dengan buruj Cassiopeia. Mirfak, bintang yang paling terang di Perseus, adalah lebih besar daripada matahari.
Rujukan Artikel: Agensi Angkasa Malaysia – MYSA
Untuk mendapatkan maklumat dan berita-berita terbaharu dari Kancil Science, ikuti media sosial kami di bawah 👇