fbpx

“Megalodon – Jerung Lebih Besar Daripada Saiz T-Rex?”

Jerung Megalodon adalah antara pemangsa yang paling garang, paling besar, paling berkuasa yang pernah berenang di lautan. Ia mampu mencapai dua kali ganda saiz Tyranosaurus Rex dan daya gigitannya mampu meremukkan sebuah kereta,

Walaupun berada di kedudukan tertinggi dalam rantaian makanan tanpa adanya pemangsa lain yang mampu menyainginya setakat ini, namun jerung Megalodon ini dikabarkan telah pupus sekitar 2.6 juta tahun lalu.

Megalodon adalah jerung paling besar yang pernah direkodkan. Dianggarkan saiz hidupan marin ini mampu membesar sehingga 60 kaki. Namun terdapat sumber lain yang menyebutkan bahawa ia bersaiz lebih besar iaitu mampu mencapai lebih 80 kaki besarnya (kira-kira tiga kali ganda dari panjang bas dua tingkat di London).

Gigi Megalodon adalah bahan terbaik untuk para penyelidik mengkaji segala maklumat tentang haiwan prasejarah ini – dan gigi berkenaan berupaya memberikan gambaran tentang kesakitan yang ditimpakan kepada mangsanya. Manusia mempunyai kekuatan gigitan sekitar 1,317 Newton manakala jerung moden pula mempunyai kekuatan gigitan setinggi 18,216 Newton. Sebaliknya, Megalodon mempunyai kekuatan gigitan hingga 182,201 Newton. Sangat kuat untuk meremukkan sebuah kereta!

Oleh sebab itu, ‘Megalodon’ bermaksud ‘Gigi Besar’. Rangka gigi terbesar ditemui bersaiz 6.9 inci, iaitu kira-kira tiga kali ganda berbanding saiz purata gigi jerung paling besar pada masa kini. Sebahagian pendapat melaporkan bahawa ianya bersaiz lebih dari 7 inci.

Pada masa-masa kemuncaknya, Megalodon dipercayai mencari mangsa di hampir kesemua lautan. Hal ini disokong oleh penemuan giginya di setiap benua kecuali Antartika.

Jerung ini memilih air yang hangat dan cenderung untuk berada di kawasan laut yang cetek dan bersuhu sederhana untuk memburu mangsanya. Namun kerana saiznya yang besar, jerung tersebut perlu memakan bertan makanan setiap hari.

Antara mangsa yang diburunya adalah ikan paus atau Humpbacks. Namun apabila tiada makanan yang bersaiz besar, Megalodon mencari mangsa yang lebih kecil seperti ikan lumba-lumba, anjing laut dan juga jerung yang bersaiz kecil. Maut yang datang akibat dibaham oleh Megalodon tidak berlalu dengan pantas kerana Megalodon sendiri tidak bertindak terburu-buru. Sebahagian penyelidik mengatakan bahawa Megalodon memburu ikan paus dengan menggigit sirip atau ekornya untuk menyukarkannya melarikan diri.

Pada zaman puncaknya, Megalodon berada di kedudukan tertinggi dalam rantaian makanan. Saintis percaya bahawa Megalodon yang telah dewasa dan matang tidak mempunyai sebarang pemangsa yang memakannya. Satu-satunya waktu di mana mereka berada dalam keadaan lemah adalah semasa ia kecil, bersaiz kira-kira 7 kaki panjang. Dari semasa ke semasa, beberapa jerung yang bersaiz besar seperti jerung berkepala-penukul (Hammerhead) cukup berani untuk menyerang anak-anak Megalodon, seumpama cubaan untuk mengatasi raja lautan.

Amat sukar untuk membayangkan bagaimana binatang yang ganas dan besar lagi kuat seperti Megalodon boleh pupus. Sekitar 2.6 juta tahun yang lalu, iaitu di penghujung zaman Pliocene, megalodon yang terakhir telah mati. Tiada siapa tahu bagaimana hal tersebut boleh terjadi walaupun wujud pelbagai teori.

Satu teori mengatakan bahawa penurunan suhu lautan menjadi punca kepupusan Megalodon. Sekitar tiga juta tahun yang lalu, laut yang bersambung dengan Amerika Tengah dan Atlantik serta Pasifik telah tertutup lalu menyebabkan lautan di bumi menjadi terlalu sejuk. Menurut Muzium Sejarah Semulajadi di London, air sejuk telah memusnahkan sebahagian sumber makanan Megalodon lalu memberikan kesan yang buruk kepada jerung itu. Sehingga 1/3 mamalia gergasi telah pupus setelah air lautan menjadi sejuk.

Sebahagian saintis percaya bahawa perubahan rantaian makanan adalah faktor yang menyebabkan kepupusan Megalodon. Dana Ehret, seorang ahli Paleobiologi di Muzium Negeri New Jersey memberitahu National Geographic bahawa disebabkan Megalodon banyak bergantung kepada ikan paus sebagai sumber makanan, maka apabila bilangan paus berkurangan, Megalodon turut mengalami kesan yang sama.

Walaupun para saintis berdebat tentang punca utama kepupusan Megalodon, mereka semua berepakat dalam suatu perkata; Megalodon telah pun lenyap buat selama-lamanya.

Rujukan Artikel: @thepatriotsasia

Untuk mendapatkan maklumat dan berita-berita terbaru dari Kancil Science ikuti media sosial kami di bawah. 👇👇

Hi, how can I help you?