“Mak pilih kasih! Mak dah tak sayang abang. Mak selalu lebihkan adik. Abang pun nak mainan baru”
Aduhai, pilu hati apabila mendengar keluhan anak sebegitu. Kadangkala, ibu bapa mungkin tidak sengaja membuat keputusan yang berat sebelah. Kemungkinan, ibu meminta anak sulung untuk kerap mengalah dengan alasan adik masih muda dan tidak tahu apa-apa.
Amalan pilih kasih sememangnya akan membuatkan anak berasa rendah diri dan terasing. Malah, hubungan antara adik-beradik juga boleh menjadi renggang disebabkan anak mula makan hati dengan perbezaan kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibu bapa.
Jadi, apa yang perlu ibu bapa lakukan sekiranya anak mula makan hati dan menuduh ibu bapa memilih kasih? Ikuti kupasan mengenai isu ini dalam artikel di bawah.
Pilih Kasih Buat Anak Makan Hati
Amalan pilih kasih boleh meninggalkan kesan yang sangat mendalam pada jiwa anak-anak, lebih-lebih lagi jika menyebabkan mereka sering bergaduh antar satu sama lain.
Malah menurut kajian, adik-beradik yang sering bergaduh selalunya tidak akan menjadi rapat walaupun usia mereka bertambah. Malah, ada di antara mereka yang menjadi lebih benci antara satu sama lain.
Dalam menangani pergaduhan anak-anak, ibu bapa perlu berhati-hati kerana sekiranya tidak ditangani secara bijak akan menyebabkan ketidakpuasan hati antara adik-beradik boleh berlarutan sehinggalah anak dewasa.
Namun, pergaduhan antara adik-beradik merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Perbezaan umur dan perangai masing-masing merupakan antara faktor yang boleh mencetuskan perbalahan.
Sebagai panduan, di sini kami sertakan beberapa tip yang boleh ibu bapa praktikkan untuk elak anak bergaduh dengan kerap:
Cara Untuk Menangani Masalah Persaingan Antara Adik-Beradik:
- Fahami anak dan hormati mereka.
- Jelaskan mengapa anda melayan setiap orang dengan layanan yang berbeza.
- Jangan memilih kasih.
- Pastikan anak selesaikan konflik sendiri, bukan secara paksaan.
- Dapatkan bantuan pakar jika pergaduhan menjadi semakin serius.
Kesan Amalan Pilih Kasih & Persaingan Antara Adik-Beradik
Pakar mempunyai pandangan yang berbeza mengenai persaingan antara adik-beradik. Sesetengah pakar berpendapat ia dapat mengajar anak erti mengalah. Namun, ada juga yang mempunyai pendapat sebaliknya.
Di bawah, kami senaraikan beberapa kesan amalan pilih kasih terhadap mental anak:
1) Depresi
Adik-beradik yang terpaksa bersaing antara satu sama lain mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk menghidap depresi. Malah, mood mereka juga tidak stabil.
Lebih serius lagi, depresi boleh berlarutan dari kanak-kanak sehinggalah dewasa. Keyakinan diri anak juga akan tercalar jika sering bergaduh dengan adik-beradik yang lain.
Akibatnya, mereka akan mula rasa tidak disayangi, lebih gemar mendiamkan diri dan enggan bergaul dengan ahli keluarga yang lain.
2) Sistem Sokongan Menjadi Lemah
Walaupun anda melayan anak-anak secara sama rata, namun persaingan dalam kalangan adik-beradik masih mampu mensabotaj hubungan mereka.
Disebabkan rasa tidak percaya atau cemburu antara satu sama lain, anak-anak mungkin lebih gemar berahsia daripada berkongsi cerita dengan keluarga sendiri.
Menurut sebuah kajian pada tahun 2015, kanak-kanak yang dibuli oleh adik-beradik sendiri lebih berisiko untuk dibuli oleh kawan-kawan di sekolah. Malah, keadaan emosi mereka juga lebih teruk berbanding rakan sebaya yang lain
3) Anak Akan Rasa Terasing
Kadangkala, apabila anak bergaduh, mereka mungkin minta pertolongan ibu bapa. Namun, jika ibu bapa mula sebelahkan orang lain, anak mungkin akan rasa ibu bapa memilih kasih dan mula rasa terasing daripada keluarga.
Tidak dinafikan, hubungan kekeluargaan umpama air dicencang tidak putus. Namun, jika anak sering berbalah, perasaan yang terbuku dalam hati mereka mungkin akan kekal sampai bila-bila.
Lama-kelamaan, anak akan rasa sunyi kerana menyangka ibu bapa lebih sukakan adik-beradik yang lain.
Namun, bukan semua pilih kasih akan mendatangkan kesan buruk.
Jika anak sering berbalah (namun tidak serius), mereka dapat belajar cara untuk meleraikan konflik.
Sebagai contoh, mereka akan jadi lebih pandai mengawal emosi, memahami perspektif orang lain dan bekerjasama untuk mencapai satu solusi.
Pendek kata…
Persaingan antara adik-beradik merupakan sesuatu yang normal. Namun, ia boleh mencetuskan masalah, lebih-lebih lagi jika adik-beradik mempunyai jantina yang sama atau jarak umur antara satu sama lain tidak jauh
Kadar persaingan antara adik-beradik lebih rendah jika anak-anak merasakan mereka dilayan secara sama rata. Jika anak-anak sering bergaduh, ibu bapa perlu mendapatkan bantuan profesional Kebanyakan adik-beradik akan bergaduh. Namun, ajar anak untuk berbaik semula
Rujukan Artikel: HelloDoktor
Artikel Berkaitan: Alamak! Dah Cukup Tidur Tapi Tetap Mengantuk? Ini Dia 5 Sebab Kenapa Berlaku!